Anwar Bebas Awal, Agong Berkenan Ampun Serta Merta

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Yang di-Pertuan Agong telah berkenan memberi pengampunan serta merta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disampaikan kepada Dr Mahathir ketika pertemuan dengan baginda pada istiadat angkat sumpah selaku perdana menteri yang berlangsung di Istana Negara pada Khamis.

“Agong menyampaikan titah berkenaan untuk memberi pengampunan serta merta kepada Anwar. Jadi kami akan melaksanakan proses sewajarnya untuk mendapatkan pengampunan buat Anwar.

“Ia akan menjadi pengampunan penuh yang bermakna Anwar akan dibebaskan serta merta,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary selepas mesyuarat Majlis Presiden sebentar tadi.

Jelas Dr Mahathir, sebaik sahaja dibebaskan Anwar akan kembali sepenuhnya dalam politik.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh, Selangor selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar menafikan kesalahan itu dan mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik.

Beliau sepatutnya bebas 8 Jun ini.

Sumber Ilham: mstar

 

Tun M, Anwar Gandingan Terhebat

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai gandingan terhebat yang diyakini rakyat untuk memacu Malaysia ke landasan gemilang.

Itulah antara harapan yang dilontarkan penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) yang berhimpun menzahirkan sokongan mereka terhadap kepimpinan Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh, di luar perkarangan Istana Negara, di sini hari ini.

Muhd Adam Khalid, 36, seorang penjawat awam berkata beliau yakin kedua-dua tokoh berkenaan mampu mengetepikan permusuhan mereka dahulu untuk memacu Malaysia ke landasan gemilang.

“Benar mereka pernah bermusuh. Tapi itu tidak menjadi halangan untuk mereka bekerjasama semula, membentuk pakatan hebat kerana kedua-duanya mempunyai kredibiliti yang tersendiri dalam memimpin negara.

Tun Mahathir dengan jelas mempunyai pengaruh yang besar dalam arena politik Malaysia meskipun telah meninggalkan profesion itu lebih 15 tahun lepas. Dengan pencapaian beliau hingga membawa negara ke mata dunia, kita percaya kita mampu berjaya,” katanya.

Dr Mahathir beramah mesra dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selepas istiadat pelantikan perdana menteri di Istana Negara, malam tadi. 

Adam berkata Anwar pula dilihat sebagai seorang pemidato yang unggul kerana mampu mempengaruhi penyokong-penyokongnya terutama anak-anak muda kerana rata-rata penyokongnya terdiri daripada golongan belia.

Beliau menjelaskan kepimpinan Anwar terserlah apabila menjawat jawatan penting seperti Menteri Kewangan pada tahun 1990-an hingga negara mengecapi pertumbuhan ekonomi yang baik.

Sementara itu, Mohd Faizal Mohd Ali, 36, antara penyokong PH gembira apabila Pilihan Raya ke-14 (PRU14) ini berpihak kepada PH.

“Saya gembira PH menang sebab mereka telah janjikan untuk menghapuskan GST. Saya berharap Tun dapat mengembalikan pemerintahan seperti yang lalu,”katanya.

Menurut pekerja syarikat swasta B. Anbarasan, 27, beliau terharu dengan kegigihan Dr Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri walaupun usianya sudah mencecah 92 tahun.

“Kita dapat lihat dia sedang berusaha untuk menyelamatkan negara kita. Dia ingin membantu generasi akan datang supaya hidup mereka tidak lebih terbeban seperti sekarang,” katanya di luar pintu Istana Negara itu. – BERNAMA

Sumber Ilham: mstar

About admin

Awang Goneng memang suka cerita macam-macam!

View all posts by admin →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − 9 =